Tuesday, October 2, 2007

Ke arah industri pertanian berdaya maju

Oleh: Amelia Hashim
KEMENTERIAN Pertanian Malaysia (KPM) dalam usaha memajukan sektor pertanian negara telah merancang pelbagai program transformasi ternakan ke arah mencapai tahap sendiri yang selesa sejajar usaha mengurangkan pergantungan pada pengimportan.

Sehubungan itu kerajaan juga peka terhadap keperluan meningkatkan tahap pendapatan penduduk desa penggunaan teknik-teknik baru dalam bidang penternakan.

Kementerian menerusi dua belas agensi di bawahnya akan bersatu kekuatan ke arah membina industri pertanian yang berdaya maju, mapan dan menguntungkan, kata Menteri Pertanian Malaysia YB Dato’ Dr. Mohd Efendi Norwawi ketika merasmikan Pusat Jualan Lembu Konsep Rimba Sdn. Bhd. (KRSB) di Naka baru-baru ini.

Menurutnya, dalam bidang ini usaha mewujudkan kelompok-kelompok penternak yang mengusahakan ladang secara komersial akan diberi perhatian dan tumpuan yang serius dan menarik minat usahawan menceburi bidang ini secara besar-besaran akan diberi sokongan yang mantap.

Beliau memuji usaha KRSB yang membangunkan ladang ternak kambing kemudian dikembangkan dengan ternakan lembu secara besar-besaran di negeri Kedah ini. Penglibatan KRSB dalam pembangunan industri ruminan ini amat penting dalam memastikan peningkatan pengeluaran daging negara.

Katanya, syarikat ini juga berjaya membawa pembaharuan dalam bidang penternakan dengan penggunaan teknik-teknik baru penternakan yang mengutamakan perkhidmatan proaktif, penggunaan sumber makanan tempatan yang murah tapi berkualiti, serta pengenalan baka bermutu berdaya tahan terhadap serangan penyakit.

Usaha ini berjaya dengan sumber perusahaan tersendiri termasuklah kemudahan kuarantin di Myanmar dan Malaysia, kapal pengangkutan ternakan, penggunaan mekanisma dalam pengurusan perladangan dan pemasaran produk sendiri.

"Pencapaian ini serentak menjayakan hasrat kerajaan merealisasikan satu kejayaan menerusi pendekatan MOA Incorporation (Ministry of Agriculture Incorporated) dalam usahasama agensi di bawah KPM termasuklah Bank Pertanian Malaysia, jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) dan jabatan Pertanian," katanya.

Menurutnya, Bank Pertanian Malaysia menerusi skim 3F bersedia memberi bantuan kewangan manakala Jabatan Pertanian pula membantu dalam perolehan sumber makanan dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan memberi perkhidmatan kepakaran veteriner sepenuh masa kepada kejayaan projek ini.

Katanya, KPM menjadikan negeri Kedah sebagai model pembangunan industri ruminan dengan memberi focus dan perhatian terhadap pembangunan secara bersepadu menggunakan pendekatan MOA Incorporated.

Ketika ini KRSB berjaya menjual 1,500 ekor lembu daging yang harga RM1,300 seekor. Syarikat ini membekalkan lembu untuk keperluan negeri Kedah dan persekitaran di samping tujuan korban.

Syarikat ini diusahakan oleh Dato’ Shahzril Eskay Abdullah dengan isterinya To’ Puan Razmah Kassim merupakan ladang komersil lembu di negeri Kedah ini.

Sebelum itu Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Kedah Dr Quaza Nizamuddin dalam ucapan aluannya berkata 17 peratus daripada 80 peratus keperluan daging lembu dalam negara kita adalah diimport. Oleh itu kadar pengimportan daging lembu menjadi tinggi disebabkan bilangan lembu yang ada di Malaysia terhad dan tidak meningkat dengan ketara bagi memenuhi permintaan dan keperluan negara ini.

Syarikat KRSB setakat ini telah mengimport sebanyak 7,000 ekor lembu dari Myanmar pada tahun lalu dan 1,800 pada tahun ini.

Menurutnya, sejak November 2000 sebanyak 3,600 ekor lembu yang diimport dari sana telah ditempatkan 3,200 ekor lembu jantan bagi tujuan pasaran dan 400 ekor lembu betina untuk dijual sebagai pembiak atau induk.

Lembu-lembu ini mempunyai ciri-ciri yang sesuai dengan Malaysia dari segi cuaca, daya tahan terhadap penyakit dan ada potensi pembiakan yang efisyen.

Dalam majlis itu YB Dato’ Dr. Efendi menyampaikan Sijil Agropreneur Berinovasi 2001 bagi pihak Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad kepada Dato’ Shahzril Eskay Abdullah.

Pengiktirafan ini adalah penghargaan kepada beliau sebagai perintis membangunkan ladang komersial lembu pertama di negeri ini.

Hadir sama di majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Luar Bandar YB Dato’ Haji Zainol Md. Isa dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan YB Dato’ Prof Dr. Othman Ishak.

No comments: