Tuesday, October 2, 2007

Melahirkan Jutawan Melalui Sektor Pertanian


Telah banyak diperkatakan berkaitan bidang pertanian sejak akhir-akhir ini. Tambahan pula Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) memberi tumpuan istimewa untuk memperkasakan pertanian dan berharap sektor ini mampu menjadi pemangkin untuk menjana pertumbuhan ekonomi baru yang berdaya saing.

Buku Melahirkan Jutawan Melalui Sektor Pertanian (ed-2,2007) karya Nasnan Jajuli dan diterbitkan oleh Anzagain Sdn. Bhd. dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara, Bukuonline.org dan Biro Pertanian Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ini sesungguhnya dapat dijadikan panduan berguna kepada para pembaca, terutama yang berminat dengan bidang pertanian.

Memetik dari kata-kata YAB Perdana Menteri di halaman (vi) buku ini menyatakan bahawa "Pertanian sering sangat dihubungkait dengan kemiskinan dan kedaifan. Tanggapan ini tidak benar sama sekali kerana jika aktiviti pertanian diusahakan secara bersungguh-sungguh, ia boleh menjadi satu sumber kekayaan yang kukuh dan lumayan. Kita sememangnya telah memiliki beberapa tokoh pertanian yang berjaya dan boleh dibanggakan tetapi itu tidak mencukupi. Demi meningkatkan martabat dan mutu sektor ini, negara sesungguhnya memerlukan lebih ramai lagi para petani yang dinamik dan mampu mencipta perubahan"

Dari kenyataan YAB Perdana Menteri di atas, jelaslah bahawa sektor pertanian boleh memberi kemewahan dan kejayaan kepada usahawan yang kreatif dan mampu menanggung risiko. Pertanian moden mengikut Nasnan Jajuli tidak lagi bergantung kepada tanah yang luas, sebaliknya para petani turut sama menghasilkan produk taninya selain terlibat dengan sektor pemasaran produk tersebut. Tiga bidang utama sektor pertanian yang sangat berpotensi ialah penanaman, penghasilan produk dan pemasaran. Pilihlah bidang mana yang ingin diusahakan.

Buku ini menggariskan lapan sektor pertanian yang berdaya saing dan maju sekiranya dilaksanakan dengan penuh minat dan kesungguhan. Antaranya (1) Herba Malaysia berpotensi untuk dijadikan ubat-ubatan, (2) Perikanan air tawar, (3) Pembenihan pokok secara kultur tisu, (4) Penternakan ayam kampung, (5) Pembuatan baja organik, (6) Penanaman Kontan secara fertigasi, (7) Penanaman taugeh dan (8) Penanaman cendawan. Meneliti sektor pertanian di atas jelas bahawa kawasan/tanah yang luas tidak sangat diperlukan, memadai jika dilakukan di sekitar kawasan masing-masing.

Buku Melahirkan Jutawan Melalui Sektor Pertanian membekalkan sebahagian ilmu dan pengetahuan kepada para pembaca, yang selebihnya, para pembaca perlu mempraktikkan serta mendapat bimbingan daripada agensi-agensi pertanian lain. Ini harapan daripada sdr. Nasnan Jajuli. Buku ini ditulis dengan bahasa yang mudah serta penuh teliti dan sekiranya dilaksanakan seperti yang dicadangkan maka tidak ada sebab kenapa Anda tidak boleh berjaya dalam sektor pertanian yang anda jalankan!
Info buku:
Tajuk: Melahirkan Jutawan Melalui Sektor Pertanian
Penulis: Nasnan Jajuli
Penerbit: Anzagain Sdn. Bhd.
Bil Halaman: 137
ISBN: 983-037-213-8
Tahun: 2006 (Edisi ke-2, cetakan 2007)

No comments: